Khamis, 5 Disember 2013

KIK HYBRID


KIK Hybrid penuhi keperluan pelanggan
Oleh : NewsDesk
Tarikh Disiarkan : 04-Dec-2013

KUCHING, Selasa Konsep baharu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dalam kalangan penjawat awam ditambah baik seiring dengan keperluan pelanggan apabila memperkenalkan KIK Hybrid. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, KIK Hybrid merupakan satu proses transformasi dalam KIK yang di peringkat awal pelaksanaan dan garis panduannya akan diperkenalkan sedikit masa lagi.

“Bagaimanapun, perbincangan bagi pelaksanaan konsep tersebut sudah mula dilakukan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan beberapa agensi berkaitan.

Justeru, semua jabatan perlu mengorak langkah yang proaktif dengan meneliti garis panduan berkenaan,” katanya. Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal pada majlis Penyampaian Anugerah Konvensyen KIK Perkhidmatan Awam Peringkat Kebangsaan Ke-30 yang bertemakan ‘Membudaya Inovasi, Merealisasi Transformasi’ di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini. Ali Hamsa menambah, pendekatan ini merupakan permulaan bagi mewujudkan jaringan kerjasama lebih banyak antara jabatan dan rakan strategik dalam pelaksanaan KIK Hybrid.

“Oleh itu, kita memansuhkan karenah birokrasi, peraturan lama dan proses kerja yang kurang relevan agar mampu melonjak lagi pembudayaan KIK dalam perkhidmatan awam. Menerusi konsep baharu ini juga, pelbagai pengetahuan, pengalaman dan kepakaran dapat dikongsi bersama bagi menggerakkan daya inovasi penjawat awam,” jelasnya. B eliau menambah, landskap inovasi perkhidmatan awam harus diperkukuh melalui inspirasi dan cara berfikir yang lebih kritikal dan analitikal untuk menyampaikan perkhidmatan cemerlang kepada pelanggan.

Dalam pada itu, Anugerah Ketua Setiausaha Negara Peringkat Negeri bagi kategori Pengurusan dimenangi oleh Kumpulan Dimensi manakala kategori teknikal dimenangi Kumpulan UK’S Global masing- masing dari Pahang dan membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000, piala juga sijil penyertaan.

Bagi kategori pengurusan dan teknikal di peringkat kementerian pula dimenangi oleh Kumpulan Synergy 10.1 dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Kumpulan Suria dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani masingmasing membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000, piala serta sijil penyertaan.

Anugerah lain yang turut dipertandingkan ialah Anugerah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Anugerah Ketua Pengarah MAMPU dan Anugerah Setiausaha Kerajaan Negeri dengan penyertaan daripada 52 buah kumpulan. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morsihidi Abdul Ghani, Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Wira Omar Kaseh dan Pengarah INTAN, Dato’ Dr. Halim Man.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan